Friday, December 17, 2010

Taman Negara Pahang

Sekejap lagi, lebih kurang jam 6:30am aku akan bertolak ke Taman Negara. Aktiviti tahunan bagi syarikat tempat aku bekerja. Ini kali kedua aku ke sana sejak 2005. Bermakna sudah 5 tahun! Harap-harap hutannya masih kekal dara. Tidak dirogol oleh manusia tamak dan berkuasa yang tidak pernah puas memboroikan poket sendiri.

Sudah terngiang-ngiang bunyi jeram-jeram yang lebih asyik dari nyanyian peserta realiti TV Malaysia.

Flora dan Fauna yang kamu tak akan dapat di bandaraya Kuala Lumpur. Dalam pada itu, aku tetap trauma dengan aktiviti yang memenatkan seperti memanjat Bukit Terisek dan berjalan di titian gayut 'Canopy Walk'. Semua itu pernah membuatkan nyawa aku di hujung tongkeng dan juga nyawa-nyawa kamu yang merokok.

Orang Asli di sana bukan seperti yang kamu jangkakan. Mereka tidak bercawat, dagu melayut, lubang tindik sebesar piring sambil memegang sumpit. Mungkin ada jika kamu sesat beratus kilometer di dada hutan tetapi tidak di tempat komersial yang aku akan pergi. Mereka seperti aku dan kamu, hancur dimamah arus kemodenan. Jangan terperanjat jika kamu mungkin terjumpa Orang Asli berseluar jeans, telefon bimbit 3G di tangan dan kunci Nissan Navara di poket kiri.

Tetapi itulah Taman Negara. Walaupun perit dan memenatkan, kamu si pencinta alam tidak akan dapat menolak ajakan dan lambaiannya. Kehebatannya seperti Nora Danish mengajak kamu ke Zoo. Bagi Mat Rempit, Bohjan dan Bohsia ianya tidak bermakna dan kosong semata-mata. Hanya sekadar lokasi pemuas nafsu dan penghancuran.

Aku dengar cerita, ada 'production house' buat shooting cerita lucah di sana. Alahai, lemah aku memikirkan mengapa pengaruh yang buruk saja sampai ke sana dan kenapa perkara yang baik di sana tidak sampai ke sini. Bukankah lebih baik jika ianya menjadi dua hala? Sekurang-kurangnya tak payah pergi jauh dari Kuala Lumpur untuk menikmati alam Flora dan Fauna. Kalau bab dadah, bab lucah cepat saja sampai ke sana. Silap-silap orang sana pun dah pandai main '3GP'!!

Tiba-tiba aku rasa macam malas nak pergi.......

No comments:

Post a Comment