Thursday, December 30, 2010

Terima kasih

Semalam Malaysia dinobatkan sebagai juara bolasepak. Aku terharu!

Indonesia lunyai dibelasah oleh pemain-pemain Malaysia yang bersemangat waja. Aku kagum!

Makwe-makwe Indonesia semua cantik-cantik belaka. Aku terkesima!

Mamat Indonesia agak gendut dan meloyakan. Aku potong!

Esok diwartakan sebagai cuti umum bagi seluruh negeri jajahan. Aku ucapkan terima kasih!

Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membawa Malaysia ke pentas juara. Kamu semua adalah juara!!!

Baaaaaaaaaaaaaaaaaaaangun!!!!!!!!


Wednesday, December 29, 2010

'Big Bang' untuk poket kamu

Minggu lepas aku ke Genting Highlands bersama-sama keluarga tersayang. Tempat rekreasi untuk keluarga dan juga tempat kaki-kaki judi mencuba nasib.

Bagi orang golongan kelas tengah seperti aku, ini bukan tempat yang sesuai untuk aktiviti rekreasi keluarga. Apatah lagi jika keluarga besar melebihi 7 orang.

Setiap langkah kamu adalah duit. Kamu akan rasa seperti dirasuk oleh hantu poket menyuruh kamu untuk mengeluarkan duit dari poket kamu tanpa henti.

Sebaik saja kamu melangkah ke dalam kereta kabel yang dicaj RM10 dua hala, RM38 sudah siap sedia menunggu kamu di destinasi. Kamu ada pilihan, sama ada mahu membelinya atau tidak. Itu adalah imej kenangan kamu bersama keluarga di dalam kereta kabel yang diambil oleh seorang pekerja Bangladesh. RM38 pasti keluar dari poket kamu jika rengekan anak kamu mengiringi setiap langkah kamu nanti!

Aku ke sebuah rekreasi 'Snow World' di sana. Caj masuk untuk kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas adalah RM16 dan dewasa dikenakan caj RM19. Bagi pakej keluarga 2 kanak-kanak dan 2 dewasa adalah RM66. Dalam tempoh 40 minit, kamu boleh bermain dengan salji buatan manusia. Noktah! oh, jangan lupa secawan aiskrim percuma buat kamu! Jarang, mungkin tak pernah kamu lihat di negara sejuk bawah paras beku bersuka ria sambil menikmati aiskrim. Di mana coklat panas? Kamu boleh membelinya dengan harga RM3.50 di luar.

Sekiranya kamu ke sana, pastinya kamu hendak mengabadikan saat-saat indah bersama keluarga di dalam imej kekal. Nanti! jangan terlalu teruja kerana kamu dilarang sama sekali membawa kamera digital mahal ke dalam. Sekali lagi kamu perlu mengeluarkan RM60 untuk pakej combo iaitu 3 keping gambar.

Itu baru satu tempat yang aku kunjung. Belum lagi permainan tema yang lain. Aku mengharapkan (baca : harapan kosong) Genting Highlands akan menjadi lebih 'Friendly' untuk orang-orang kelas pertengahan seperti aku dan kamu. Mereka mengaut untung berjuta-juta dari pusat judi dalam sekelip mata, mengapa mereka tidak boleh turunkan sedikit harga caj mereka agar setiap manusia di bumi Malaysia ini dapat menikmati keseronokan bersama keluarga di sana.

Tatkala ekonomi kelas pertengahan berkecamuk, keluarga Lim Goh Tong bergelumang dengan limpahan wang ringgit dari poket kamu, aku dan juga yang lain. Aku tidak mungkin akan ke sana lagi. Oh! pengecualian jika ada makwe yang mengajak aku ke sana, aku mungkin pertimbangkan.

P/S: Aku sangat gembira dan bersyukur kerana aku mempunyai sebuah keluarga yang penyayang, murah hati dan bertimbang rasa. Saat-saat yang aku luangkan bersama mereka selama 3 hari amat bermakna bagi aku dan ianya akan kekal di dalam ingatan. Kamu harus ingat, keluarga itu adalah anugerah yang sangat berharga. Jangan kamu abaikan mereka sama sekali!






Selamat Menyambut Hari Natal

Aku tujukan ucapan di atas kepada semua rakan-rakan yang menganut agama kristian. Semoga ceria-ceria di alam fana ini.

Peace!

Thursday, December 23, 2010

PMR oh PMR

Jawapan yang paling 'macho' dari bekas murid tingkatan 3 berambut senget menutup mata ala-ala bulu punggung ayam jantan nenek aku di kampung.

Aku : Ceria saja muka hari ni ? Mesti score PMR kan? Dapat berapa A?

Dia : Tak lah bang, kita hidup mesti ceria selalu (sambil menyenget-yengetkan kepala untuk membetulkan kedudukan jambul).

Dia : Dapat 3C, 3D dengan 2E je. A orang lain dah ambil semua.


Aku tengok dia dalam-dalam, ada bakat jadi mat rempit ni. Harap-harap dia tak menikam mati siapa-siapa di kemudian hari.

Tapi dunia ini bulat. Tuah manusia tiada seorang pun tahu. Samaada kamu ataupun aku, kecuali Tuhan yang satu.

Jadi aku berfikiran positif yang dia akan menjadi seseorang suatu hari nanti. Ada je orang yang tak pass SRP jadi menteri, jutawan kontraktor kelas F pun ada. Kenapa tidak dia? disebalik jambul senget itu, tiada siapa yang tahu tuahnya.

P/S : Tahniah kepada semua calon PMR yang mendapat keputusan cemerlang. Tolong jangan pandai 3GP, buang anak, bunuh orang mahupun lari mengikut kekasih. Kami mengharapkan kamu untuk memimpin di generasi akan datang.


Monday, December 20, 2010

Blog lama yang tinggal sejarah

Aku cuba cari blog lama aku. Aku mendapat jawapan yang mengecewakan dari Google.

Bukan kerana aku lupa akan akaun aku, tetapi atas sebab kealpaan diri aku sendiri yang mega liat untuk menjaga blog seperti menjaga kucing kesayangan mak aku.

Akibatnya ini yang aku dapat......setelah 5 tahun aku tinggalkan


Taman Negara Pahang : Part III

Malam terakhir aku di Taman Negara disudahi dengan makan malam yang sungguh sedap. Malangnya, kekenyangan tidak bertahan lama akibat aktiviti malam itu sungguh memenatkan. Walaupun penat, aku sedikit sebanyak belajar sesuatu yang berharga untuk pedoman dalam memperbaiki kehidupan sebobot aku.

Keesokannya aku menongkah arus dengan sampan jalur berenjin menuju ke kawasan perkampungan orang asli.

Aku disambut oleh Adam Lambert, orang asli berketurunan Batek selaku wakil kepada orang-orang asli di situ.

Adam Lambert ini, orangnya sangat 'koro' berambut kerinting halus dan gelap. Tetapi dia mengajar aku supaya menjadi orang yang sangat 'down to earth'. Dia seorang yang amat simple. Tiada loan kereta, tiada kad kredit, tidak perlu memikirkan soal kerja yang menekan. Anak-anak beliau tidak dihantar ke sekolah atas dasar tidak mahu terkongkong dengan segala undang-undang dunia.

Kehidupan beliau bergantung kepada alam hutan. Dari sekecil-kecil hal sehinggalah sebesar-sebesarnya. Aku kagum dengan manusia bernama Adam Lambert ini. Fasih berbahasa Batek, Melayu dan Inggeris!

Sampai di jeti Kuala Tahan, aku lupa pasal Adam Lambert dan segala hal positif berkenaannya yang boleh membimbing hidup ke arah kecemerlangan. Memang dasar tak masuk otak! aku salahkan bot dan jeram air yang buat aku lupa akan hal itu!


Saturday, December 18, 2010

Taman Negara Pahang : Part II

Semalam aku sampai di Taman Negara lebih kurang pukul 1430hrs dari Cyberjaya. Perjalanan menaiki bas agak meloyakan. Nasib baik 'Event Committee' melayan kebosanan dengan tayangan 'IP Man' 1 dan 2 dari koleksi DVD cetak rompak mereka.

Tempat penginapan yang disediakan adalah Rain Forest resort. Terletak di Kuala Tahan 800 meter dari jeti ke Taman Negara.

Hujan menemani aku sepanjang hari semalam dan hari ini. Manakala aktiviti yang tersedia adalah seperti

Rapid shooting : Separuh nyawa hilang akibat semput. Jadi aku bukan 'master' dalam adegan 'blowing'.

Treasure Hunt : Menarik dan berpeluang mengenali penduduk setempat.

Night Safari : Aku musykil kenapa orang-orang sini memanggilnya sebegitu. Ianya adalah ladang kelapa sawit semata-mata dan tidak ada kehidupan safari di situ melainkan beberapa ekor anjing, kucing dan berkawan-kawan lembu. Kamu tidak akan rugi jika tidak mengambil tempat dalam acara ini.

Canopy Walk : Aku serik!

Bukit Terisek : Aku sangat serik

Yang pasti, Keindahan alam Flora dan Fauna di sini berjaya menyelesaikan masalah kepenatan kamu. Hirupan oksigen 'fresh' yang tak mungkin kamu dapat di Kuala Lumpur boleh membuatkan jantung kamu tersenyum lebar.

Sekarang aku melepek di dalam bilik untuk berehat seketika sebelum aktiviti 'Survivor' bermula.

'Survivor' memerlukan aku memakai seperti orang asli! aku mungkin menyarung jeans Levis dan baju 'Nike' Kenapa? Ya! kerana orang-orang asli di sini segak-segak belaka! Adalah satu penghinaan kepada mereka jika aku hanya menutup kemaluan aku dengan daun-daun hutan dan berkaki ayam.

Oh! jangan lupa 'Aloy Fried Chicken' kerana rasanya amat sedap berbanding 'KFC' atau mungkin aku terlalu penat dan kebulur, jadi semua makanan rasa hebat termasuk lipas dan cicak sekalipun.....

Friday, December 17, 2010

Taman Negara Pahang

Sekejap lagi, lebih kurang jam 6:30am aku akan bertolak ke Taman Negara. Aktiviti tahunan bagi syarikat tempat aku bekerja. Ini kali kedua aku ke sana sejak 2005. Bermakna sudah 5 tahun! Harap-harap hutannya masih kekal dara. Tidak dirogol oleh manusia tamak dan berkuasa yang tidak pernah puas memboroikan poket sendiri.

Sudah terngiang-ngiang bunyi jeram-jeram yang lebih asyik dari nyanyian peserta realiti TV Malaysia.

Flora dan Fauna yang kamu tak akan dapat di bandaraya Kuala Lumpur. Dalam pada itu, aku tetap trauma dengan aktiviti yang memenatkan seperti memanjat Bukit Terisek dan berjalan di titian gayut 'Canopy Walk'. Semua itu pernah membuatkan nyawa aku di hujung tongkeng dan juga nyawa-nyawa kamu yang merokok.

Orang Asli di sana bukan seperti yang kamu jangkakan. Mereka tidak bercawat, dagu melayut, lubang tindik sebesar piring sambil memegang sumpit. Mungkin ada jika kamu sesat beratus kilometer di dada hutan tetapi tidak di tempat komersial yang aku akan pergi. Mereka seperti aku dan kamu, hancur dimamah arus kemodenan. Jangan terperanjat jika kamu mungkin terjumpa Orang Asli berseluar jeans, telefon bimbit 3G di tangan dan kunci Nissan Navara di poket kiri.

Tetapi itulah Taman Negara. Walaupun perit dan memenatkan, kamu si pencinta alam tidak akan dapat menolak ajakan dan lambaiannya. Kehebatannya seperti Nora Danish mengajak kamu ke Zoo. Bagi Mat Rempit, Bohjan dan Bohsia ianya tidak bermakna dan kosong semata-mata. Hanya sekadar lokasi pemuas nafsu dan penghancuran.

Aku dengar cerita, ada 'production house' buat shooting cerita lucah di sana. Alahai, lemah aku memikirkan mengapa pengaruh yang buruk saja sampai ke sana dan kenapa perkara yang baik di sana tidak sampai ke sini. Bukankah lebih baik jika ianya menjadi dua hala? Sekurang-kurangnya tak payah pergi jauh dari Kuala Lumpur untuk menikmati alam Flora dan Fauna. Kalau bab dadah, bab lucah cepat saja sampai ke sana. Silap-silap orang sana pun dah pandai main '3GP'!!

Tiba-tiba aku rasa macam malas nak pergi.......

Wednesday, December 15, 2010

Mabuk yang dirindu ;)

Ada waktu terluang tadi, Aku tengok balik blog memancing yang Aku buat dulu. Cis! memang tunggang langgang tak patut! Dah la tak pernah update, grammar semua ke parit. Aku rasa dunia blog ni memang tak 'in' dengan jiwa sebobot Aku. Bukan main liat lagi nak 'update' blog.

Patutlah masa zaman Aku sekolah rendah dulu, semua orang ada 'scrapbook' dan 'autograph' selain Aku. Apatah lagi, Dear diary...... Jangan harap.

Kalau kamu rasa nak 'enjoy' blog separuh jalan berkenaan memancing, kamu boleh pergi ke The Crew Anglers

Aku sangat enjoy memancing. Tak kiralah Aku mabuk muntah hijau sekali pun! Aku tak pernah serik pergi ke laut untuk memancing. Mulanya musim tengkujuh sekarang ni, buat Aku rindu untuk pergi memancing di laut. Ditambah-tambah dengan tekanan kerja, makin membuak-buak rasa rindu Aku. Harap-harap Tuhan panjangkan usia Aku, jadi Aku berpeluang lagi untuk memancing di laut pada tahun akan datang.

Amaran : Blog itu Aku yang punya. Dan Aku bukan pemancing profesional. Segala ajaran sesat dan dakyah berkenaan memancing dalam blog itu, adalah atas risiko kamu sendiri.

Fishing is our handshake, our language.
A Heritage that binds us together.
A passage our fathers took.
A Journey that lasts a lifetime,
That we have begun again with our sons and daughters.
-Words in an Abu commercial



Thursday, December 9, 2010

Hujan

Kalau hujan mesti mood aku jadi blues. Otak ligat flashback 10 - 20 tahun lepas. Mungkin ada sejenis cecair dalam otak yang 'trigger' sistem flashback ni. Tapi lepas dikaji balik, aku rasa puncanya ialah hujan datang dengan sejenis bau yang unik. Bau yang buat otak aku teringat memori silam. Kamu jangan tanya, sebab aku tak pasti apa nama saintifiknya, tapi aku istilahkan ianya 'sindrom bau hujan'. Bau yang tak pernah berubah sejak aku kanak-kanak sampailah sekarang. Baunya standard. Pergilah ke mana pun, kamu akan dapat bau yang sama.

Bila dah start flashback ni satu kerja pun tak jadi. Memang tak ada function 'stop', 'pause' atau 'forward'. Itu memang pe'el dia. Sebab itu aku menyampah kalau blues hari hujan ni. Otak jadi lembab!

Selain daripada itu, hidup aku hari ni macam biasa. Simple dan tak ada yang special. Esok orang sibuk bercuti, aku tetap kena kerja. Harap-harap esok janganlah hujan. Kalau tak, sah-sah tak jadi satu menda. Asyik nak blues je.....

Wednesday, December 8, 2010

Rezeki

Rezeki yang kamu peroleh datangnya secara terus atau dari pelbagai punca. Kadang-kadang ianya datang dari punca yang tidak disangka-sangka. Dalam islam, kita diwajibkan untuk bermohon, bertawakal dan redha dengan apa yang kita terima.

Kamu bersyukur dan redha dengan rezeki yang kamu terima. Dalam pada itu, ada juga antara kamu yang terlalai dari mengucap syukur kepadaNya, apatah lagi meredhai dengan apa yang diperolehi. Tidak mengapa itu hak kamu.

Kamu jarang meneliti aspek dan transaksi rezeki itu. Asalkan ianya selamat di dalam poket kamu, yang lain adalah tidak penting bagi kamu. Tak perlu fikir panjang nak kaji-kaji, sebat saja. Kamu biasa mendengar orang kita menyebut 'rezeki anak' ketika kamu dilimpahkan dengan rezeki yang tersalur melalui anak itu. Jarang kedengaran atau tidak pernah terungkap rezeki mak, rezeki abang, kakak, adik, tok nenek atau rezeki kawan sekalipun dari mulut orang kita. Padahal, itu adalah saluran-saluran rezeki yang pernah datang kepada kamu.

Kamu tidak redha menjadi saluran rezeki kepada orang lain. Kamu marah bila Tuhan salurkan rezeki kepada hambanya yang lain melalui kamu. Pada masa yang sama kamu senyum sumbing menyambut rezeki yang disalurkan melalui orang lain kepada kamu.

Apatah lagi kalau dugaan yang datang. Ya! Dugaan. Bukankah di dunia ini dicipta semuanya berpasangan? apabila ada rezeki sudah pasti dugaan di sisi. Jadi mengapa kamu perlu sentap, marah dan jauh sekali untuk meredhai apabila dugaan yang datang kepada kamu baik secara terus atau melalui saluran-saluran tadi? Tidakkah kamu juga perlu bersyukur dan redha dengan segala dugaan yang datang sepertimana ketika kamu dilimpahkan dengan rezeki?

P/S : Hari ini aku kena belanja kawan aku lunch. Perlukah aku naik angin sebab rezeki makan lunch kawan aku hari ini disalurkan melalui aku?

Tuesday, December 7, 2010

Kalau dah emaknya cikgu..

Separuh hari Wa termenung. 3 gelas nescafe Wa teguk sebab nak hadam kata-kata nasihat seorang Ibu. Belum kira pening kepala Wa sebab terhayun-hayun macam spring lepas kena tunjal! Akhirnya Wa ambil keputusan yang entri-entri Wa akan datang tidak akan ada lagi Wa Lu, Wa Lu.

Kata-kata nasihat seorang Ibu tinggi nilainya. Nak pula Mak Wa adalah Mak Wa, guru mendidik Wa di rumah dan guru displin Wa di sekolah. Jadi nilai dia Wa tak boleh hitung menggunakan kalkulator saintifik.

Benar katanya, Wa bukan Apek jual 'clorox', Wa bukan anak jalanan Indonesia yang terbiar. Wa anak cikgu! Kan lebih comel kalau guna ganti nama Dewan Bahasa.

Tapi tak semua anak cikgu cerdik. Ye dak? Ada yang lembab macam Wa. Tengok dari blog pun dah tau. Simple! Tatabahasa pun ke parit.

Tak apa. Biarlah orang-orang yang mahir dalam berbahasa je guna ayat perkataan tahap profesor madya. Untuk Wa, cukup dengan 'simple word' untuk bahan bacaan orang-orang macam Wa. Yang penting apa yang Wa nak cerita sampai elok-elok dalam otak. Cewah! Cakap macam ramai sangat orang baca blog Wa.

Jadi, entri akan datang Wa akan pakai 'Aku' dan 'Kamu'. Kalau I You nanti meremang pula bulu tengkuk.

Awal Muharram 1432h

Masih belum terlambat Wa rasa untuk mengucapkan salam Maal Hijrah. Semoga diampunkan dosa, diberi ganjaran pahala, dilindungi selalu dan dimurahkan rezeki ditahun baru 1432h ini.

Wa takde pasang azam baru sebab azam yang lepas-lepas pun tak settle-settle lagi. Harap tahun ini ada kekuatan rohani dan jasmani untuk mencapai azam Wa.

Awal Muharam Eve pun orang nak merempit juga? Dah macam mana.....

Friday, December 3, 2010

Setiap yang hidup pasti akan pergi

Dia seorang yang cool, berpendirian, sistematik dalam menjalani hidup, dan berdisplin.

Seorang yang amat periang, ada high class dalam "sense of humor". Sangat sayang kepada anak-anak kecil.

Orang tua yang style dengan seluar slack boot cut poket lintang ini mahir membuat lemang.

Hari ini, 2hb Disember 2010 Allah telah menjemput beliau setelah beberapa bulan terseksa akibat kanser. Al Fatihah.

Abdul Karim Bin Ning, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kamu dan di tempatkan kamu di kalangan orang-orang yang beriman.

Wednesday, December 1, 2010

Gol!

Siapa tak kenal futsal. Sukan paling popular di dunia. Sukan untuk semua tak kira miskin kaya atau tua muda. Yang kaki bangku turut tak ketinggalan. Dalam futsal kita dapat kawan baru, boleh tunjuk skill gentel yang tak ke mana dan boleh sumbat gol cantik. Cuma yang tak syok kalau kita yang 'GOL!' ketika bermain.

Selain kehendak Ilahi yang menetapkan ajal maut, Wa syak arwah Shamrin meninggal akibat faktor stamina.

Wa banyak kawan-kawan jenis sampai padang terus terjun dari motor tak menyempat dah nak mengentel bola. Tak sampai 5 minit dah terkulai tepi longkang sebab nyawa di hujung tongkeng. Ni semua kes nak kejar azan maghrib punya pasal. Wisel penamat bagi kutu-kutu Taman Guru.

Nak main sukan yang melibatkan kederat dan nyawa ni perlulah sekurang-kurangnya 10 minit untuk panaskan badan. Warm up dan streaching lebih kurang. Messi yang level dunia pun warm up sebelum main. Takdenya dia turun bas terus main. Kerja gila tu semua.

Sayangilah keluarga anda. Futsal ialah sukan menyihatkan badan bukan tempat nak membunuh diri. Panaskan badan secukupnya sebelum main. Yang merokok tu, buat extra sikit kasi cun-cun.

Al-Fatihah buat arwah Shamrin dan takziah buat keluarga beliau.

P/S : Wa main sebiji macam Messi. Score tadi pun macam Villa. Sumpah!