Wednesday, April 25, 2012

Malang tidak berbau

Ada suatu hari,

"Mamak! kira!!!....jom pegi tengok bapuk".... vroooooommmmmm, eeeikkk.. sheeeerikkkkk..veroom..verooooooooooommm... bang!!! pow!!! bang!!! bang!! pang!!! ping pung!! bang!! dam!! dam!! pow!

aduh..... *hening*

Saya sedar-sedar dah dekat hospital, kaki kiri terangkat ke atas dengan ada batu ladung agak-agak 5kg beratnya kat bawah.

Lepas doktor tanya "are you ok?" saya pengsan balik.

Kawan saya cakap, masa kejadian manusia terpelanting macam bola boling. cuma saya je terperenyok bawah kereta.

Alhamdullillah, saya selamat. 

Malang tidak berbau, apatah lagi kalau kamu saja-saja merempit tak pakai helmet. Sedangkan minum teh tarik di kedai mamak pun boleh mengancam nyawa.

Saya MC 3 bulan.

Friday, April 20, 2012

Opera Hidup - Antara Realiti dan Drama


Di kampung yang diberi nama Taman Guru telah heboh mengatakan yang saya sudah berkahwin(lagi). Tatkala mendengar berita itu, saya terasa seperti berada di dalam plot drama swasta TV2 yang mana Munah lakonan Rosnah Mat Aris, Tijah lakonan Nadia Mustapar dan Zaiton dipikul oleh Khatijah Tan sedang memuncung dan mencebik mulut menghebohkan hal itu di kedai runcit Syukur Rufaqa. Manakala Norlia Ghani membawa watak sebagai ibu saya berada di belakang sedang mengambil serbuk kari cap Nelayan memikul ikan dalam keadaan yang berduka. Kasihan ibu saya.

Saya sebagai hero di dalam cerita ini dengan hati yang membara akibat cinta putus di tengah jalan seiring dengan fitnah yang menghimpit berjalan longlai menuju ke tebing paya. 

Keadaan amat tegang diselubungi kebingungan dan kekecewaan di atas perlakuan orang kampung terhadap ibu saya. Kamera diambil dari sisi dan disorot perlahan ke tengah supaya terserlah kekacakan saya seperti Adi Putra yang sedang mengemam batang kemuncup sambil membaling batu ke dalam air dengan manja. (Plot ini perlu diberi penekanan supaya anak-anak dara makcik di kampung mengigit jari kegeraman dan kegilaan). Berada di tebing paya itu, barulah saya dapat mendalami bagaimana perasaan seorang janda berhias yang duduk di kampung-kampung. Perasaan itu sangat aneh dan mencengkam jiwa.

Saya bangun dan membentak kaki ke tanah apabila tiada lagi batu di sekeliling dan menuju perlahan ke kedai. Sampai saja di sana, tanpa membuang masa saya hantukkan kepala Munah ke peti ais hingga kaca-kaca pecah berserakan. Kemudian saya parutkan tangan Zaiton di mesin kelapa. Darah memercik merata-rata segenap penjuru muka kedai diselang seli dengan jeritan meminta ampun!. Manakala Tijah sesak nafas tersungkur di peti aiskrim akibat mulutnya disumbat ikan tongkol. Pengunjung-pengunjung lain yang tadi terangguk-angguk memasang telinga bertempiaran lari menyelamatkan nyawa masing-masing. Suasana bening seketika, saya perlahan menuju ke kaunter membayar harga serbuk kari dan memimpin ibu saya keluar dari kedai.

Melintasi makcik-makcik tadi, saya nyatakan dengan sopan,

"Makcik, saya belum berkahwin (lagi). Simpanlah anak-anak dara makcik untuk orang lain, kerana saya masih belum mahu berkahwin. Ketahuilah, mengumpat dan memfitnah itu adalah satu dosa yang berat"

Munah yang masih pengsan dengan kaca berceracak di kepala, Zaiton tertonggeng merintih-rintih bertaubat nasuha akibat jari jemarinya hancur dimamah mesin kelapa, Tijah kaku dan biru dengan mata terbeliak ke atas itu, saya tinggalkan.

Dari jauh saya jeling, abang jaga kedai perlahan-lahan keluar dari tempat menyorok di tepi kampit-kampit beras dalam keadaan amat cemas. Kedengaran bunyi turrr turrr turrr mesin kelapa perlahan-lahan hilang dibawa angin disusuli lagu tema, Aku Insan Yang Lemah nyayian Rohana Jalil,

-End-

Cerita di atas tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang mati. Juga tiada kena mengena dengan saya. Ianya hanyalah rekaan semata-mata untuk bahan bacaan yang tidak serius.

PTPTN

Apa beza PTPTN dengan pembiayaan MARA, JPA, Petronas dan Yayasan Negeri?

Jika lulus cemerlang pinjaman bertukar menjadi biasiswa, kamu belajarlah 'kaw-kaw' jadi orang cemerlang.

Jika gagal, bayarlah balik. Anggaplah kamu bayar balik duit yang kamu pinjam dari Seng Heng buat beli handphone canggih, notebook untuk main games, rokok dan cover charge kelab malam. Janganlah susahkan PTPTN dan penjamin-penjamin kamu.

Kalau PTPTN ikat kamu, rasa macam tak kan? kerjalah rajin-rajin dan bayarlah dengan tenaga muda dan kepandaian yang kamu dapat.

Apa yang susah sangat?

Tetapi, kalau PTPTN bukan gaya gitu, kamu boleh andaikan PTPTN ini macam Ah Long. Mereka membantu dan membunuh pada masa yang sama. Bila sebut Ah Long, silalah jauhkan diri kamu.

PTPTN ni wujud zaman "yuppies", zaman ekonomi Malaysia sedang hiruk pikuk. Zaman yang mereka tahu, zaman "yuppies" ini zaman yang boleh buat untung besar.

Jadi, jika Kerajaan Malaysia menyediakan "free education at all level", UPSR, SRP, SPM, STPM, Sijil, Diploma, Sarjana dan apa segala, kamu hari ini pasti tercangak-cangak apabila ada orang mempromosikan PTPTN.

"Apa setan PTPTN ni? Aku belajar tinggi-tinggi, bayar tak sampai lima ribu, selebihnya negara Malaysia yang tercinta yang tolong aku bayar tau!" Mungkin ini yang kamu pekik sambil menyepak tulang pinggang promoter tersebut.

Baik, lima ribu itu harga yang saya rasa, harga mampu bayar untuk semua rakyat pelbagai lapisan tanpa meminjam untuk jadi manusia pandai.

Oleh itu, tak payahlah yang sudah meminjam PTPTN dan boleh bayar balik tu bongkak sangat sampai nak menghentam yang kurang kemampuan bayar balik. 

Yang belajar pun tak lulus, tak payahlah sibuk sama. Memanglah patut kena bayar balik sebab kamu bodoh! kamu perhabiskan duit rakyat untuk handphone, notebook buat main games, rokok, cover charge disko dengan awek tu buat apa?

Kesimpulannya, Pelajaran percuma untuk semua rakyat Malaysia bagi setiap tangga pengajian dan bayar balik jika kamu gagal kerana bodoh macam bangkai dalam pelajaran.

Ok, saya tajaan Yayasan dan saya kurang cemerlang dalam akademik. Tetapi saya lulus. Saya diarahkan membayar balik wang pembiayaan saya.

Saya bayar dengan tenaga, titik peluh dan ilmu yang saya dapat ketika belajar. Bukan dengan wang ringgit hasil daripada gaji saya.







Saturday, November 26, 2011

Kuching, Sarawak

  1. panas
  2. bahasa yang cantik tapi agak sukar difahami
  3. tinggal di homestay kampung tupong
  4. mengikut kata tuan punya homestay, hj tani, 75 ini adalah kampung yang berusia beratus tahun
  5. bandaraya kuching agak meriah diwaktu malam terutamamya di sepanjang waterfront.
  6. jalanraya yang sangat tinggi mutu tar nya.
  7. tak boleh type huruf besar di sini menggunakan blackberry!

Sunday, November 20, 2011

Sampah dunia

Susah hidup susah ni. Dipandang sebelah mata ibarat puntung rokok di kaki lima jalan Chow Kit.

Zaman sekarang duit berkata-kata, ke mana saja kamu pergi, tak ada duit, kamu adalah sampah. Itu lumrah.

Tak apa, mungkin hari kamu belum tiba. Bukankah hidup ini berputar?

Monday, November 14, 2011

Mentafsir manusia adalah amat sukar

Manusia adalah satu spesis yang amat sukar untuk ditafsir. Walaupun manusia itu secara amnya adalah seorang gadis berpakaian seksi sehingga terserlah payudara dan rekahan di belakang, tafsiran kita secara automatik mengatakan dia adalah seorang GRO adalah tidak semestinya tepat.

Begitu juga tafsiran kita kepada gadis yang bertudung litup. Otak normal kita akan segera mentafsirkan dia adalah seorang yang warak, baik budi pekerti dan calon isteri yang betul juga tidak semestinya tepat.

Saya tertanya-tanya, mengapa kita perlu berselindung disebalik keterampilan dan menyusahkan manusia lain untuk mentafsir diri kita?

Andai diberi pilihan, saya pilih gadis yang seksi dari yang memakai tudung. Kerana, sekiranya tersalah tafsir, dia adalah seorang gadis seksi yang baik dan bukannya seorang GRO. Manakala si gadis yang bertudung, kemungkinan dia adalah seorang GRO separuh masa yang bukan warak dan taat seperti yang disangka tidak boleh diendah begitu sahaja. Peratus kekecewaan adalah sangat tinggi berbanding daripada si gadis seksi tadi.

Oleh itu, jadilah diri kamu sendiri. Jangan berselindung! kerana manusia lain akan berkata-kata sampai bila-bila andainya kamu bukan si gadis bertudung yang sebenar. Berbeza daripada si gadis seksi, manusia akan berkata sekali dan tak mungkin berkata lagi kerana dia menampilkan dirinya yang sebenar walaupun dia adalah seorang si gadis seksi yang tidak pernah melakukan dosa besar dan payah sekali meninggalkan solat wajib...


Masih dikekang tabiat lama.

Mengapa begitu payah bagi saya untuk mengemaskini blog? jawapannya mudah,

"Saya sudah cukup banyak komitmen yang perlu saya tunaikan setiap hari dan saya rasa tak perlu untuk saya menambah derita dan tanggungjawab untuk memastikan blog saya sentiasa kemas"