Friday, April 20, 2012

Opera Hidup - Antara Realiti dan Drama


Di kampung yang diberi nama Taman Guru telah heboh mengatakan yang saya sudah berkahwin(lagi). Tatkala mendengar berita itu, saya terasa seperti berada di dalam plot drama swasta TV2 yang mana Munah lakonan Rosnah Mat Aris, Tijah lakonan Nadia Mustapar dan Zaiton dipikul oleh Khatijah Tan sedang memuncung dan mencebik mulut menghebohkan hal itu di kedai runcit Syukur Rufaqa. Manakala Norlia Ghani membawa watak sebagai ibu saya berada di belakang sedang mengambil serbuk kari cap Nelayan memikul ikan dalam keadaan yang berduka. Kasihan ibu saya.

Saya sebagai hero di dalam cerita ini dengan hati yang membara akibat cinta putus di tengah jalan seiring dengan fitnah yang menghimpit berjalan longlai menuju ke tebing paya. 

Keadaan amat tegang diselubungi kebingungan dan kekecewaan di atas perlakuan orang kampung terhadap ibu saya. Kamera diambil dari sisi dan disorot perlahan ke tengah supaya terserlah kekacakan saya seperti Adi Putra yang sedang mengemam batang kemuncup sambil membaling batu ke dalam air dengan manja. (Plot ini perlu diberi penekanan supaya anak-anak dara makcik di kampung mengigit jari kegeraman dan kegilaan). Berada di tebing paya itu, barulah saya dapat mendalami bagaimana perasaan seorang janda berhias yang duduk di kampung-kampung. Perasaan itu sangat aneh dan mencengkam jiwa.

Saya bangun dan membentak kaki ke tanah apabila tiada lagi batu di sekeliling dan menuju perlahan ke kedai. Sampai saja di sana, tanpa membuang masa saya hantukkan kepala Munah ke peti ais hingga kaca-kaca pecah berserakan. Kemudian saya parutkan tangan Zaiton di mesin kelapa. Darah memercik merata-rata segenap penjuru muka kedai diselang seli dengan jeritan meminta ampun!. Manakala Tijah sesak nafas tersungkur di peti aiskrim akibat mulutnya disumbat ikan tongkol. Pengunjung-pengunjung lain yang tadi terangguk-angguk memasang telinga bertempiaran lari menyelamatkan nyawa masing-masing. Suasana bening seketika, saya perlahan menuju ke kaunter membayar harga serbuk kari dan memimpin ibu saya keluar dari kedai.

Melintasi makcik-makcik tadi, saya nyatakan dengan sopan,

"Makcik, saya belum berkahwin (lagi). Simpanlah anak-anak dara makcik untuk orang lain, kerana saya masih belum mahu berkahwin. Ketahuilah, mengumpat dan memfitnah itu adalah satu dosa yang berat"

Munah yang masih pengsan dengan kaca berceracak di kepala, Zaiton tertonggeng merintih-rintih bertaubat nasuha akibat jari jemarinya hancur dimamah mesin kelapa, Tijah kaku dan biru dengan mata terbeliak ke atas itu, saya tinggalkan.

Dari jauh saya jeling, abang jaga kedai perlahan-lahan keluar dari tempat menyorok di tepi kampit-kampit beras dalam keadaan amat cemas. Kedengaran bunyi turrr turrr turrr mesin kelapa perlahan-lahan hilang dibawa angin disusuli lagu tema, Aku Insan Yang Lemah nyayian Rohana Jalil,

-End-

Cerita di atas tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang mati. Juga tiada kena mengena dengan saya. Ianya hanyalah rekaan semata-mata untuk bahan bacaan yang tidak serius.

2 comments:

  1. Huwawawawawa.....kelakar story ni....tergolek-golek sya ketawa...

    ReplyDelete