Wednesday, December 29, 2010

'Big Bang' untuk poket kamu

Minggu lepas aku ke Genting Highlands bersama-sama keluarga tersayang. Tempat rekreasi untuk keluarga dan juga tempat kaki-kaki judi mencuba nasib.

Bagi orang golongan kelas tengah seperti aku, ini bukan tempat yang sesuai untuk aktiviti rekreasi keluarga. Apatah lagi jika keluarga besar melebihi 7 orang.

Setiap langkah kamu adalah duit. Kamu akan rasa seperti dirasuk oleh hantu poket menyuruh kamu untuk mengeluarkan duit dari poket kamu tanpa henti.

Sebaik saja kamu melangkah ke dalam kereta kabel yang dicaj RM10 dua hala, RM38 sudah siap sedia menunggu kamu di destinasi. Kamu ada pilihan, sama ada mahu membelinya atau tidak. Itu adalah imej kenangan kamu bersama keluarga di dalam kereta kabel yang diambil oleh seorang pekerja Bangladesh. RM38 pasti keluar dari poket kamu jika rengekan anak kamu mengiringi setiap langkah kamu nanti!

Aku ke sebuah rekreasi 'Snow World' di sana. Caj masuk untuk kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas adalah RM16 dan dewasa dikenakan caj RM19. Bagi pakej keluarga 2 kanak-kanak dan 2 dewasa adalah RM66. Dalam tempoh 40 minit, kamu boleh bermain dengan salji buatan manusia. Noktah! oh, jangan lupa secawan aiskrim percuma buat kamu! Jarang, mungkin tak pernah kamu lihat di negara sejuk bawah paras beku bersuka ria sambil menikmati aiskrim. Di mana coklat panas? Kamu boleh membelinya dengan harga RM3.50 di luar.

Sekiranya kamu ke sana, pastinya kamu hendak mengabadikan saat-saat indah bersama keluarga di dalam imej kekal. Nanti! jangan terlalu teruja kerana kamu dilarang sama sekali membawa kamera digital mahal ke dalam. Sekali lagi kamu perlu mengeluarkan RM60 untuk pakej combo iaitu 3 keping gambar.

Itu baru satu tempat yang aku kunjung. Belum lagi permainan tema yang lain. Aku mengharapkan (baca : harapan kosong) Genting Highlands akan menjadi lebih 'Friendly' untuk orang-orang kelas pertengahan seperti aku dan kamu. Mereka mengaut untung berjuta-juta dari pusat judi dalam sekelip mata, mengapa mereka tidak boleh turunkan sedikit harga caj mereka agar setiap manusia di bumi Malaysia ini dapat menikmati keseronokan bersama keluarga di sana.

Tatkala ekonomi kelas pertengahan berkecamuk, keluarga Lim Goh Tong bergelumang dengan limpahan wang ringgit dari poket kamu, aku dan juga yang lain. Aku tidak mungkin akan ke sana lagi. Oh! pengecualian jika ada makwe yang mengajak aku ke sana, aku mungkin pertimbangkan.

P/S: Aku sangat gembira dan bersyukur kerana aku mempunyai sebuah keluarga yang penyayang, murah hati dan bertimbang rasa. Saat-saat yang aku luangkan bersama mereka selama 3 hari amat bermakna bagi aku dan ianya akan kekal di dalam ingatan. Kamu harus ingat, keluarga itu adalah anugerah yang sangat berharga. Jangan kamu abaikan mereka sama sekali!






2 comments: